Seminar Pemikiran Reformis – Siri IX Muhammad Iqbal - Part 1

Oct 28, 2017 - Featured, Featured on irfront.org, Seminar
Tarikh: Sabtu, 28 Oktober 2017
Masa: 10AM – 530PM
Tempat: Concorde V, Concorde Hotel Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

Ucaptama dan Peluncuran Buku “Rekonstruksi Pemikiran Keagamaan Dalam Islam” oleh
YB Saari Sungib
Translation of “The Reconstruction of Religious Thought in Islam” by Muhammad Iqbal 

Panelis:

Dr Haidar Bagir
Direktur Utama, Kelompok Mizan, Indonesia

Dr Ammar Fauzi
Sekolah Tinggi Filsafat Islam – STFI Sadra, Jakarta, Indonesia

Dr Azhar Ibrahim
National University of Singapore

Moderator:

Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Anjuran:
Islamic Renaissance Front

Muhammad Iqbal lahir pada tahun 1877, di wilayah Punjab – kini Pakistan. Berketurunan daripada keluarga Brahmin-Kashmiri, yang sangat dihormati membolehkan Iqbal menerima mutu pendidikan yang cemerlang.

Latar belakang kesarjanaan Iqbal yang diperoleh daripada warisan pemikir Islam, seperti Sir Sayyid Ahmad Khan, Shah Waliyullah ad-Dahlawi dan Mulla Sadra. Pada masa yang sama, kemahiran Iqbal menekuni tradisi falsafah Barat yang berlanjutan daripada idea Hegel, Bergson, Freige dan Fredriech Niestzche membenarkan Iqbal untuk merenkonstruk idea pemikiran yang jernih dan segar terhadap sintesis pemikiran dan reinterpretasi terhadap faham Islam.

Iqbal tidak menolak aspek positif daripada Barat dan beliau juga tidak mengggalakkan sikap taqlid mebuta tuli terhadap Barat. Malahan apa yang beliau hajati ialah kerangka intelektual bagi Islam yang moden dan mencari jalan bagi membangunkan tamadun Islam berdasarkan khazanah agama dan budaya Islam sendiri. Tersudut daripada usaha membangunkan keanjalan terhadap pemikiran, dunia Islam menerima kedatangan seorang cendikiawan tersohor dari wilayah Sialkot, Punjab, iaitu seorang penyajak dan penyair terkemuka, Muhammad Iqbal atau digelar Allamah Sir Muhammad Iqbal, yang telah mendobrak pemikiran baru, yang membawa agenda islah dan reformis – konsep modernisme Islam sebagai respons kepada modeniti Eropah.

Iqbal beranggapan bahawa kesedaran golongan ulama’ yang mempertahankan konsep Ijtihad seperti Ibn Taymiyyah (1263 -1328) dan Shah Waliyullah ad-Dahlawi (1703-1762) membangkitkan keperluan untuk umat Islam sama-sama memimpin pembaharuan dan modenisasi di dalam lebenswelt (dunia kehidupan) mereka terhadap agama. Iqbal dipengaruhi pemikiran ulama’ seperti Muhammad ibn Ali asy-Syaukani (1760-1839), ulama’ reformis yang menyeru ke arah islah dan pembaikan kondisi masyarakat yang dibendung gejala taqlid.

Sememangnya Iqbal merupakan ahli falsafah, penyair, mujaddid dan reformis Islam yang telah banyak berjasa di dalam membangunkan naratif yang progresif di dalam korpus pemikiran Islam. Sesungguhnya, jasa Allamah Muhammad Iqbal yang mendepani cabaran intelektual moden, di satu sisi bertindak dengan penggerak modenisme Islam yang kritikal terhadap modeniti Barat. Tambahan pula, kehebatan beliau di dalam mengarang karya-karya kesusasteraan menyebabkan Muhammad Iqbal sangat dihormati di Timur dan juga Barat. Lantaran itu jugalah pengkaji Islam, John Esposito pernah menulis suatu esei sebagai penghargaan kepada Muhammad Iqbal bertajuk “Iqbal The Reformer” atau “Iqbal Sang Reformis”.

Lantaran itu, seminar ini bertujuan untuk memugar semula pemikiran Sang Reformis ini agar kita menjadi umat yang senantiasa befikiran terbuka, peka, dan kritis dalam menangani kdehidupan sebagai Muslim di zaman moden yang semakin mencabar ini.