Seminar Pemikiran Reformis – Siri XIII Teungku Muhammad Hasbi Ash Shiddieqy - Part 1

Oct 6, 2018 - Featured, Featured on irfront.org, Seminar
Tarikh: Sabtu, 6 Oktober 2018
Masa: 10AM – 530PM
TempatIbn Taymiyyah Conference Room, Level 3, Kulliyyah of Economics and Management Sciences, Universiti Islam Antarabangsa, Jalan Gombak, Kuala Lumpur

Perasmian oleh Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar,
Presiden, Academic Staff Association, International Islamic University Malaysia 

Panelis:
Dr Muhammad Syahrial
IAIN Lhokseumawe, Aceh, Indonesia

Dr Pradana Boy
Universitas Muhammadiyah, Malang, Indonesia

Dr Azhar Ibrahim
National University of Singapore

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front 

Anjuran:
Islamic Renaissance Front & Academic Staff Association, International Islamic University Malaysia

Teungku Muhammad Hasbi ash-Shiddiqiey (1904-1975) dilahirkan pada 10 Mac 1904 di Lhok Seumawe, Acheh Utara dan membesar di tengah-tengah keluarga yang mewarisi akar budaya dan semangat keagamaan yang kuat.

Pada tahun 1926, TM Hasbi mendaftar di Madrasah al-Irsyad, Surabaya yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Soorkati (1874-1943), dan mengikuti takhassus dalam disiplin pendidikan selama dua tahun. Pemikiran moden yang digerakkan di al-Irsyad, mempengaruhi corak pemikiran dan pandangan dunianya yang rasional yang menyalahi aliran konservatif dan taqlid yang berkembang dalam masyarakat. TM Hasbi juga pernah belajar di Timur Tengah, dan pergaulannya yang luas telah memungkinkannya untuk mencetuskan gagasan pencerahan yang kontroversial dan menggerakkan perjuangan menentang arus pemikiran tradisional dan fanatik dan “mendobrak benteng taqlid”

Dalam sejarah pemikiran Islam di Indonesia, Hasbi terkenal dengan usahanya memperkenalkan fiqh ke-Indonesiaan, yang mengangkat pemahaman “fiqh baru dan hukum Islam ala Indonesia” hasil refleksi historisnya atas pemikiran hukum dan kearifan tentang prinsip syari’at dan kesadaran hukum masyarakat. Gagasan ini dilahirkan berasaskan keyakinannya bahawa “prinsip-prinsip hukum Islam sebenarnya memberikan ruang gerak yang lebar bagi pengembangan dan ijtihad-ijtihad baru”.

Ia dicetuskan daripada orientasi doktrin, tradisi, dan politik hukum nasional dan “dinamika pembaharuan hukum Islam di Indonesia”. Berangkat dari kenyataan sosial dan politik – waqi‘ al-hal– dan kepekaan terhadap kebaikan dan maslahah, Hasbi menggagaskan fiqh Indonesia, iaitu “fikih yang ditetapkan sesuai dengan tabiat dan watak Indonesia” sebagai alternatif fiqh baru ke atas situasi dan kondisi masyarakat yang dihadapinya, dan yang “lebih mencerminkan pelurusan pemahaman umat dan proses adaptasinya ke dalam perubahan sosial.

Tafsir al-Nur adalah antara karyanya yang fenomenal, yang dikemukakan dalam 30 juzu’, dan diangkat sebagai rujukan klasik kerana “tidak banyak ulama Indonesia yang mampu menghasilkan karya tafsir semacam itu”. Kerangka besar Tafsir ini melakarkan falsafah tajdid dan perjuangan menuntut islah, yang terkesan daripada mazhab pemikiran moden yang tersebar di Indonesia hasil dakwah kaum muda al-Azhar yamg dipimpin Imam Muhammad Abduh. TM Hasbi terkesan dengan idea pembaharuan dan nahdah yang berkembang di Mesir, dan ini diperkukuh dengan penglibatannya dalam gerakan kebangkitan di Indonesia.

Gagasan pembaharuan Syaikh Muhammad Abduh memberikan impak yang siginifikan dalam penafsirannya. Hal ini diungkapkan dengan konklusif dalam hujahnya tentang akal dan fikrah pembaharuan dan idealisme tafsir yang impresif yang dicanang oleh Abduh. Demikianlah perjalanan jihad Prof TM Hasbi Ash-Shiqqieqy yang akan diwacanakan dalam Seminar ini.