Seminar Pemikiran Reformis – Siri X Muhammad Abduh – Part 2

Dec 2, 2017 - Featured, Featured on irfront.org, Seminar
Tarikh: Saturday, 2 December 2017
Masa: 10AM – 530PM
Tempat: Concorde V, Concorde Hotel Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail

Ucaptama dan Peluncuran Buku “Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh” oleh
Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin
Terjemahan buku “المنهج الإصلاحي للإمام محمد عبده” oleh Dr Muhammad ‘Imarah
& “Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi” oleh Dr Ahmad Nabil Amir

 Panelis:

Dr Sohirin Mohammad Solihin
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Fadzilah Din
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Azhar Ibrahim
National University of Singapore

Moderator:

Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Anjuran:
Islamic Renaissance Front 

Al-Ustaz al-Imam Muhammad Abduh (1849-1905) digambarkan sebagai figur dakwah yang terkemuka di dunia Islam yang telah mencetuskan gagasan pembaharuan dan menzahirkan pengaruh yang monumental dalam pemikiran Islam moden. Perjuangan Abduh berteraskan kepada idea Pan Islamisme yang digagaskan oleh Sayyid Jamaluddin al-Afghani yang menyeru kepada kebebasan fikiran dan pemugaran ijtihad.

Abduh merupakan penerus kepada cita-cita perjuangan yang dilandaskan oleh gurunya, Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Perjuangan al-Afghani di Mesir, Iran, Paris, dan Afghanistan telah dizahirkan dalam karya dan fatwa Abduh yang memperlihatkan aspirasinya untuk mengangkat martabat agama, aqal, dan sains. Idea pencerahan yang diilhamkannya telah membawa perubahan penting dalam kehidupan masyarakat dan memangkin kekuatan baru dalam sejarah sosio-budaya umat.

Kesan pemikiran Abduh telah memberikan pengaruh yang meluas dalam gerakan Islam sedunia. Pendiri Muhammadiyah, Ahmad Dahlan, sang pencerah yang membawa gerakan pembaharuan di Indonesia telah terkesan dengan pengaruh perjuangan Abduh di Mesir. Sayid Shaykh al-Hadi yang melontarkan pesan pembaharuan dan meniupkan mesej nahdahdi Tanah Melayu juga terkesan dengan gagasan pan-Islamisme dan gerakan al-Manar yang digerakkan oleh Abduh dan muridnya Rasyid Rida. Demikian juga rakan-rakannya yang digelar Kaum Muda seperti Shaykh Tahir Jalaluddin, Burhanuddin al-Helmi dan Pendeta Za’ba.

Abduh telah merakamkan sumbangan yang bermakna dalam mengangkat dan menggerakkan kekuatan dan semangat perjuangan Islam di seluruh dunia. Hasil karyanya yang ditulis sejak akhir kurun ke-19 telah menzahirkan corak dakwah yang revolusioner dan mewarnai pemikiran dan pandangan Islam kontemporer.

Pengaruh dan dampak yang jelas daripada pemikiran Abduh dalam karya tafsir, diperlihatkan dalam penulisan kitab magnum opusnya The Message of The Qur’an oleh Muhammad Asad, seperti dinyatakannya: “Pembaca akan dapati banyak rujukan yang dibuat daripada pandangan Muhammad Abduh di nota kaki. Pengaruh beliau dalam dunia moden Islam tidak mampu untuk dijelaskan sepenuhnya. Cukup untuk dinyatakan bahawa setiap aliran pemikiran Islam yang tumbuh di zaman moden adalah berakar daripada pengaruh yang bercambah dari tradisi pemikiran dan idealisme beliau, secara langsung atau tidak”.

Demikian itulah gagasan al-Ustaz al-Imam Muhammad Abduh yag mana suara pembaharuan Salafiyyahnya telah mendobrak benteng taqlid dan bergema di segenap pelusuk bumi Islam baik di Barat maupun di Timur. Dan inilah sosok yang akan diperbicangkan pemikirannnya di dalam Seminar ini.